Pada zaman
pascakemerdekaan ini, arus modenisasi dan globalisasi yang pesat berkembang
menyebabkan permainan tradisional sudah semakin dipandang enteng dan disisihkan
oleh masyarakat kita daripada arus perdana. Permainan tradisional adalah
merujuk kepada permainan budaya yang sudah diamalkan oleh sesebuah masyarakat
untuk satu tempoh yang tertentu sebagai pengisi masa lapang. Negara kita kaya
dengan pelbagai jenis permainan tradisional yang tak lapuk dek hujan dan tak
lekang dek panas. Antara jenis permainan tradisional tersebut termasuklah
congkak, wau, gasing, galah panjang, batu seremban, teng-teng, guli, sepak
raga, konda-kondi dan sebagainya. Kebanyakan daripada permainan tersebut kurang
diketahui oleh generasi muda. Hal ini membayangkan bahawa permainan
tradisional berkenaan akan lenyap ditelan zaman jika tiada usaha diambil
untuk mengetengahkannya dalam kalangan khalayak ramai khususnya generasi masa
ini. Persoalannya, apakah peranan yang seharusnya saya mainkan dalam usaha
memartabatkan permainan tradisional di negara kita?
Usaha
pertama yang saya lakukan untuk memartabatkan permainan tradisional adalah
dengan memupuk minat diri sendiri terhadap permainan tradisional. Remaja
pada masa ini banyak terdedah dengan pelbagai pengaruh modenisasi dan perubahan.
Mereka sering menganggap permainan tradisional telah lapuk dan ketinggalan
zaman. Oleh itu, sebagai generasi muda, saya harus sedar bahawa
saya berperanan memartabatkan permainan tradisional. Hal ini boleh
dilakukan atas kesedaran diri sendiri untuk mencari pelbagai informasi
berkaitan dengan permainan tradisional. Saya akan mengakses maklumat tentang
permainan tradisional agar dapat memahami dengan lebih jelas setiap permainan
tradisional yang ada di negara kita. Terdapat banyak laman web yang memberikan
pelbagai maklumat berkenan pelbagai permainan tradisional berserta gambarnya
sekali. Secara tidak langsung, wujud kesedaran dalam diri sendiri untuk
memartabatkan permainan tradisional di negara ini bagi menyaingi
permainan moden yang semakin popular dalam kalangan remaja.
Selain
itu, usaha yang boleh saya lakukan adalah dengan menjadikan permainan
tradisional sebagai pengisi masa lapang. Hal ini boleh dilakukan dengan
rakan-rakan sebaya pada waktu petang atau pada masa cuti sekolah bagi menggantikan
permainan moden. Saya boleh meminta tunjuk ajar daripada golongan yang lebih
tua tentang cara-cara permainan tradisional tersebut bagi membolehkan
saya dan rakan-rakan memainkannya bersama rakan-rakan. Inisiatif ini bukan
sahaja dapat memartabatkan permainan tradisional malah dapat memupuk semangat
setia kawan dan kerjasama sesama rakan. Hal ini juga boleh mengelakkan diri
saya sebagai remaja daripada terjebak dengan pelbagai gejala negatif akibat
daripada pengaruh rakan-rakan dan persekitaran yang tidak baik. Bagi diri saya
lebih baik mengisi masa dengan bermain permainan tradisional daripada melakukan
perkara-perkara yang tidak berfaedah. Jelaslah permainan tradisional
mendatangkan banyak kebaikan kepada generasi muda masa ini.
Di samping
itu, bagi memartabatkan permainan tradisional, saya sebagai pelajar
sekolah haruslah berani mengesyorkan kepada guru-guru di sekolah agar permainan
tradisional menjadi salah satu aktiviti semasa perjumpaan kokurikulum. Saya
akan menulis surat kepada pihak sekolah menerusi persatuan agar memasukkan
permainan tradisional menjadi sebahagian daripada aktiviti kokurikulum di
sekolah. Hal ini secara tidak langsung akan memperkenalkan permainan
tradisional kepada semua pelajar. Saya juga akan menyertai permainan tradisional
yang dipertandingkan di peringkat sekolah semasa aktiviti kokurikulum dan juga
persatuan akademik. Antara aktiviti yang boleh dilakukan ialah pertandingan
membuat wau, pertandingan bermain congkak dan demonstrasi permainan daripada
golongan tua yang lebih berpengalaman bagi menarik minat pelajar. Dengan cara
tersebut, minat remaja terhadap permainan tradisional dapat dipupuk agar
kepelbagaian permainan tradisional dapat dipelihara. Ibarat kata pepatah, tak
kenal maka tak cinta amat bertepatan kerana jika pelajar telah mula
diperkenalkan dengan pelbagai permainan tradisional, sudah pastilah minat
terhadapnya akan tertanam secara semula jadi. Maka para pelajar perlu berani
membuat perubahan ke arah memartabatkan permainan tradisional.
Usaha yang
seterusnya ialah saya sebagai remaja perlu menanamkan semangat cinta akan
budaya terutama permainan tradisional. Hal ini adalah kerana,
permainan tradisional merupakan budaya masyarakat Malaysia sejak dahulu dan
perlu diteruskan dan dipelihara agar dikenali oleh generasi akan datang.
Sesuatu yang baik itu perlu dipupuk dan ditanam dalam diri sejak kecil sesuai
dengan peribahasa, melentur buluh biarlah dari rebungnya. Jika asasnya telah
kukuh maka secara langsung remaja masa ini tidak akan segan silu mempertahankan
dan memartabatkan permainan tradisional. Alah bisa tegal biasa kerana sesuatu
yang sukar pada awalnya akan menjadi mudah dan biasa jika selalu dilakukan dan
diamalkan. Begitulah juga yang diharapkan terhadap permainan tradisional. Jika
remaja seperti saya telah mula menanamkan sikap sayang dan cinta akan budaya
masyarakat ini, maka sudah pasti permainan tradisional terpelihara megah dalam
kalangan masyarakat Malaysia. Sesungguhnya kecintaan terhadap permainan
tradisional akan memupuk juga rasa cinta terhadap negara
Kesimpulannya,
remaja hendaklah berusaha mempopularkan permainan tradisional agar permainan
tersebut terus terpelihara dan mendapat tempat di hati masyarakat Malaysia
umumnya dan generasi muda khususnya. Maka golongan muda perlu berganding bahu
dan meminta bantuan golongan yang lebih tua agar permainan tradisional terus
dimartabatkan dan diketengahkan dalam pelbagai situasi dan aktiviti. Kedua-dua
golongan boleh saling bekerjasama sebelum nasi menjadi bubur. Khazanah ini
perlu dipelihara dan dikekalkan di negara ini dengan menggunakan pelbagai
pendekatan sesuai dengan peribahasa di mana ada kemahuan, di situ ada
jalan.